Belum Tiba Masanya Arif Aiman Ke Luar Negara
July 2, 2023 Meor Mohamad Amirul

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali merasakan belum tiba masanya buat pemain muda sensasi tempatan, Arif Aiman untuk berhijrah ke luar negara biarpun beraksi dengan cukup baik bersama skuad kebangsaan dan kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT)

Menurut Safee, pemain berusia 21 tahun itu masih mempunyai jangka masa yang panjang untuk mencapai potensinya dan kini berada di pasukan yang tepat dalam mengembangkan bakatnya. 

“Bagi saya, Arif Aiman masih muda, masih jauh lagi perjalanan dia dan dia berada dalam pasukan yang sesuai buat masa sekarang. Saya risau kalau dia pergi ke peringkat yang lebih tinggi, cepat performance (prestasi) dia akan down (jatuh).”

“Saya rasa bagi dia masa lagi untuk berada dalam JDT. Kalau dia pergi ke luar dengan umurnya 21, 22 (tahun), saya rasa takut performance dia tak akan naik. Bagi dia explore (terokai) lagi (bakatnya) dalam JDT sebab bola ini, kalau terlalu cepat naik, akan cepat turun.” ujar Safee ketika ditemui wartawan selepas Kongres Tahunan FAM Kali Ke-59. 

Bekas penyerang Pelita Jaya FC di Indonesia itu turut mencadangkan Arif Aiman untuk berhijrah ke liga sekitar asia seperti di timur tengah berbanding ke eropah yang berbeza tahap intensiti dan taraf permainannya. 

Nama Arif Aiman mula disebut-sebut untuk berhijrah ke luar negara selepas menampilkan aksi cemerlang sejak dua musim yang lalu bersama JDT dan prestasinya turut mendapat perhatian pemerhati bola sepak tempatan serta media antarabangsa.

Untuk rekod, Arif Aiman telah menjaringkan lima gol dan mencatatkan 9 bantuan gol (assists) dalam saingan Liga Super selain menjaringkan hatrik berganda dalam seminggu ketika mewakili Harimau Malaya semasa jendela antarabangsa FIFA dan JDT dalam Piala FA. 

Featured Image: PFAM | Syamil Rosli

Komen