Pasukan yang diwakili oleh Cristiano Ronaldo pada ketika ini, Al Nassr akan menggunakan jersi jenama sukan terkenal antarabangsa iaitu Nike bermula musim 2023-24 kelak.
Kelab yang berpangkalan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh mengesahkan perkara berkenaan menerusi makluman yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, awal pagi tadi.
Difahamkan, perjanjian antara Al Nassr dan Nike ini akan bermula pada saat mereka menjalani jelajah pramusim di Jepun bertemu Paris Saint-Germain (PSG) dan Inter Milan sekitar penghujung Julai nanti.
Untuk makluman semua, sebelum ini, Al Nassr menggunakan jersi keluaran syarikat tempatan, Duneus yang mana kelab berjulukan Al Alami menjadi satu-satunya kelab bola sepak yang menggunakan jersi keluarannya.
Sementara itu, menghiasi ruangan di bahagian hadapan jersi Al Nassr keluaran Nike itu kelak adalah KAFD menggantikan SHURFAH.
Perubahan ini pula hadir setelah King Abdullah Financial District Development & Management Company (KAFD DMC) menandatangani perjanjian penajaan sebagai Penaja Platinum Rasmi selama tiga tahun.
Featured Image: Al Nassr