Bekas pemain FC Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Andres Iniesta yang dilabel sebagai “midfield maestro” oleh para pemerhati dan peminat bola sepak seluruh dunia khususnya sekitar era 2010-an kini berstatus ejen bebas.
Perkembangan ini hadir selepas pemain berusia 39 tahun terbabit tidak melanjutkan kontraknya bersama Vissel Kobe – kelab beraksi dalam kancah J.League yang disertainya sekitar pertengahan tahun 2018 lalu.
Sebelum berpisah dengan kelab berpangkalan di negara matahari terbabit, Iniesta diberikan berpeluang untuk bermula dalam kesebelasan utama buat julung kalinya pada musim ini bersama Vissel Kobe pada Sabtu lalu.
Dalam perlawanan melayan kunjungan Consadole Sapporo di Stadium Noevir, Iniesta sempat dan beraksi selama 56 minit dihadapan 30,000 penonton yang hadir sebelum digantikan dengan pemain tengah, Daiju Sasaki.
Perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan Supachok Sarachat (Consadole Sapporo, 26’) dan Matheus Thuler (Vissel Kobe, 85’) masing-masing.
Untuk pengetahuan semua, sebelum sepak mula perlawanan tersebut, Iniesta turut diraikan oleh para peminat dengan satu tifo gergasi khas yang memaparkan pemain kelahiran Fuentealbilla terbabit menyarung jersi No.8 serta memakai lilitan kapten dan ucapan “Gracias Andres”.
Sebagai rekod, sepanjang menyarung jersi Vissel Kobe, Iniesta berhasil membuat 134 penampilan disamping menjaringkan 26 gol dan mencipta 25 “assist” dalam kesemua pertandingan samada domestik mahupun antarabangsa.
Iniesta mengharungi musim yang paling gemilang bersama Vissel Kobe pada tahun 2019 apabila membantu kelab tersebut menjuarai kejuaraan utama sulung dalam sejarah, Piala Maharaja Jepun dengan menumpaskan Kashima Antlers.
Sebagai tambahan, Iniesta belum mengesahkan lagi destinasi yang seterusnya namun difahamkan telah dikaitkan dengan beberapa kelab di eropah serta amerika selatan.
Featrured Image: JOHOR Southern Tigers