Seorang warga emas wanita berusia 106 tahun mencipta sejarah apabila berjaya memungut tiga pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Olahraga Kebangsaan India ke-18 di Dehradun baru-baru ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Rambai telah mendominasi acara larian 100 meter, 200 meter dan juga lontar peluru bagi kategori 85 tahun dan ke atas dalam kejohanan tersebut setelah menewaskan lima peserta lain.
Namun begitu, ini bukanlah pingat pertama yang dipungutnya dalam acara sukan selepas beliau dikhabarkan telah memenangi lebih 200 pingat daripada 14 acara sukan di dalam dan di luar India sejak dua tahun yang lalu.
Warga emas dari Haryana itu juga dilaporkan telah memperbaharui rekod peribadi terbaik bagi acara 100 meter pada kejohanan yang sama dan sebelum ini mendakwa dirinya turut meleburkan rekod dunia yang dipegang Man Kaur di Vancouver pada usia 100 tahun.
Rekod atlet Punjab itu didakwa berjaya diperbaharui Rambai semasa menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Masters yang diadakan di Vadodara, India pada Jun yang lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang laporan rasmi mahupun catatan yang direkodkan mana-mana organisasi berkaitan seperti Guinness World Record mahupun World Athletics yang dapat mengabsahkan dakwaan Rambai itu.
Featured Image: Indian Athletics