Artikel

Ranking BWF: Tsuneyama, Antonsen Tolak Zii Jia Ke No.16 Dunia

Kedudukan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus menunjukkan penurunan buat minggu kelima berturut-turut.   

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini mengesahkan pemain berusia 25 tahun tersebut jatuh dua anak tangga berbanding pada minggu lalu. Ianya susulan dipintas pemain Jepun dan Denmark, Kanta Tsuneyama dan Anders Antonsen yang kini menghuni tangga ke-14 dan ke-15 masing-masing.

Kejatuhan itu meletakkan juara Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2021 di tangga ke-16 dunia pada minggu ini dengan mempunyai 53,156 mata yang terkumpul.

Sementara itu, Tsuneyama dan Antonsen pula mempunyai kutipan 54,271 dan 54,040 mata masing-masing. 

Kemaskini yang sama turut menyaksikan tiada perubahan melibatkan kedudukan Ng Tze Yong dan Cheam June Wei yang kekal di tangga ke-21 dan ke-41 dunia masing-masing.

Namun begitu, Leong Jun Hao pula mencatatkan kenaikan tiga anak tangga dan menghuni ranking ke-54 dunia. 

Featured Image: Badminton Association of Malaysia (BAM)

komen