Ranking BWF: Wong Ling Ching Kini ‘Top 100’ Dunia
July 4, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pemain wanita muda negara, Wong Ling Ching yang mara ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Mongolia pada Sabtu akhirnya berada dalam kelompok 100 perseorangan wanita terbaik dunia.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pemain berusia 20 tahun itu mencatatkan lonjakan 24 anak tangga berbanding kedudukannya pada minggu lalu.

Peningkatan itu tercetus hasil mengumpul 15,434 mata sekaligus meletakkan dirinya di tangga ke-88 dalam Ranking Dunia buat pertama kali sejak menyertai pasukan kebangsaan pada Oktober tahun lalu.

Untuk makluman, kejayaannya untuk mara ke peringkat separuh akhir kejohanan Gred 3 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebelum tewas kepada pilihan utama kejohanan dari Amerika Syarikat, Lauren Lim telah memberikannya 2,800 mata.

Kemaraan ke separuh akhir di Mongolia itu juga merupakan kali kedua di peringkat tersebut bagi tahun 2023 selepas kali pertama melakukannya di Siri Antarabangsa Estonia, Januari lalu. 

Sementara itu, Goh Jin Wei dan K. Letshanaa turut mencatatkan kenaikan sebanyak satu anak tangga masing-masing menjadikan mereka mengghuni kedudukan ke-33 dan ke-68 dunia. Manakala S. Kisona pula turun ke ranking 61 dunia, berbeza satu anak tangga berbanding minggu lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen