Le Tour de Langkawi 2023 Mula Dari Kerteh & Tamat Di KL
July 4, 2023 Hafizuddin Omar

Perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bakal menemui para peminatnya apabila bakal berlangsung bermula dari 23 hingga 30 September kelak.

Penganjuran perlumbaan edisi ke-27 ini adalah usahasama di antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selaku pemilik LTdL dengan dikendalikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Basikal Malaysia (PKBM) yang merupakan badan induk sukan berbasikal tanah air. 

Perlumbaan pada kali ini menampilkan lapan peringkat perlumbaan sama seperti sebelum ini. Ianya merentasi 11 buah negeri di semenanjung dengan jarak keseluruhan kayuhan sejauh 1,280 kilometer (km). 

Lapan peringkat perlumbaan LTdL 2023 adalah seperti berikut: 

  • [Sabtu | 23 September] Kerteh – Kuala Terengganu (184.4km)
  • [Ahad | 24 September] Kuala Terengganu – Kota Bharu (186.2km)
  • [Isnin | 25 September] Jeli – Baling (177.1km)
  • [Selasa | 26 September] Bukit Mertajam – Meru Raya (140.0km)
  • [Rabu | 27 September] Slim River – Genting Highlands (133.3km)
  • [Khamis | 28 September] Karak – Melaka (176.6km)
  • [Jumaat | 29 September] Muar – Seremban 2 (125.7km)
  • [Sabtu | 30 September] Setia Alam – Kuala Lumpur (157.0km)

Dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Menara KBS pada hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut melancarkan logo LTdL 2023 berserta temanya iaitu “Beat The Heat” yang mencerminkan ujian getir menanti pelumba menerusi pendakian penuh mencabar ke puncak Genting Highlands dan kayuhan menguji ketahanan dalam cuaca panas terik.

Pada masa yang sama, taraf perlumbaan LTdL 2023 ini kekal berstatus ProSeries – penarafan saingan jelajah berbasikal jalan raya pada Tier 2 oleh badan induk sukan berbasikal dunia, UCI.

Dimaklumkan, senarai pasukan yang akan mengambil bahagian dalam edisi LTdL kali ini akan dimuktamadkan tidak lama lagi yang membabitkan penyertaan minima tiga pasukan Dunia (UCI World Team), tujuh pasukan Pro (UCI ProTeam), 11 pasukan benua (UCI Continental) dan satu pasukan kebangsaan Malaysia.

Komen