Ranking BWF: Hang Yee-Eng Cheong Daki 14 Anak Tangga Selepas Menang Di Mongolia
July 4, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki bebas (independent), Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong yang menjuarai Cabaran Antarabangsa Mongolia pada Ahad lalu merekodkan peningkatan yang besar dalam Ranking Dunia.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memperlihatkan gandingan pemain berusia 26 dan 24 tahun masing-masing ini melangkau sebanyak 14 anak tangga sekaligus menghuni kedudukan ke-56 dunia bermula hari ini.

Kejuaraan yang dirangkul di Mongolia dengan mengalahkan beregu senegara, Chia Weijie dan Liew Xun telah memberikan mereka 4,000 mata sekaligus mengumpul 22,340 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, gandingan Chia-Liew yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) muncul naib juara di kejohanan yang sama turut memberikan lonjakan besar iaitu peningkatan sebanyak 15 anak tangga dan kini berada di kedudukan ke-84 dalam Ranking Dunia.

Tiada sebarang perubahan dikesan terhadap tiga beregu utama negara dengan Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun kekal di tangga keempat, keenam dan ke-23 dunia masing-masing.

Bagaimanapun, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang akan membuat keputusan untuk bergandingan semula di Terbuka Amerika Syarika pada 11 Julai kelak terpaksa menerima hakikat untuk berada di tangga ke-50 dunia setelah jatuh 15 anak tangga, pada hari ini.

Featured Image: Instagram Low Hang Yee

Komen