Perlumbaan jelajah berbasikal jalan raya, Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun ini menyaksikan Langkawi tidak tersenarai dalam lapan laluan yang akan diharungi para pelumba bermula 23 hingga 30 September kelak.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan Langkawi tidak tersenarai pada edisi ini kerana ia akan melibatkan pertambahan kos kepada penganjur.
Selain itu, penyisihan pulau yang terkenal dengan kisah legenda Mahsuri itu daripada senarai laluan pada tahun ini turut melibatkan kesukaran daripada aspek logistik.
“Untuk (perlumbaan LTdL) kali ini, kita merangkumi 11 negeri (di semenanjung Malaysia) kecuali Perlis. Kalau kita melibatkan Langkawi, ia melibatkan satu tambahan kos.
“Ini bukan kali pertama (tidak melibatkan Langkawi) tetapi nama Langkawi masih ada di situ.”
“Ini bukan merupakan satu perkara luar biasa. Ia merupakan satu aspek logistik yang besar dan kos yang tinggi. Laluan di Langkawi itu sendiri bukan satu laluan yang ‘comfortable’ untuk hos (LTdL tahun ini),” katanya selepas majlis pelancaran semalam.
Sebagai rekod, Langkawi sudah pernah tersisih sebagai laluan perlumbaan LTdL pada edisi 2016 hingga 2018. Ianya kembali disenaraikan pada edisi 2019 dan 2022.
Untuk makluman, lapan peringkat perlumbaan LTdL 2023 adalah seperti berikut; Kerteh – Kuala Terengganu, Kuala Terengganu – Kota Bharu, Jeli – Baling, Bukit Mertajam – Meru Raya, Slim River – Genting Highlands, Karak – Melaka, Muar – Seremban 2 dan Setia Alam – Kuala Lumpur.
Pada masa yang sama, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh turut menjelaskan dengan kos RM8 juta yang diperuntukkan oleh kabinet dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), penganjur telah mencuba sebaik mungkin untuk menyenaraikan hampir kesemua negeri di semenanjung di dalam perlumbaan kali ini.
Featured Image: Facebook KBS Malaysia
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!