Tat Meng Tentukan Program Latihan Zii Jia Selepas Terbuka Australia
July 5, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengarah kejurulatihan, Wong Tat Meng akan menilai persembahan pemain berusia 25 tahun itu dalam tiga kejohanan disertainya sebelum menentukan program latihan yang sesuai. 

Kenyataan tersebut hadir menerusi perkongsian video sesi temubual eksklusif bersama jurulatih berusia 56 tahun itu di pelbagai platform media sosial rasmi Team LZJ, pasukan kepada jaguh perseorangan lelaki negara. 

“Korea, Jepun dan Australia. Ini adalah tiga kejohanan yang kami akan sertai sekarang. Saya tidak pernah lihat dia (beraksi) semasa kejohanan. Jadi, saya mahu lihat persembahannya dan apa yang dipersembahkan akan menentukan program latihan saya.” ujar Tat Meng dalam video temubual tersebut. 

Bekas pemain perseorangan negara itu turut menegaskan Zii Jia perlu bersedia untuk menentang sesiapa sahaja tanpa mengira status dan rekod lampau jika mahu berjaya sebagai pemain badminton. 

Untuk makluman, Tat Meng telah diumumkan sebagai Pengarah Kejurulatihan Team LZJ pada Mei lalu. Beliau dikenali sebagai jurulatih yang berjaya membangunkan bintang badminton seperti An Se Young dan Ng Ka Long.

Sebagai tambahan, Zii Jia telah diundi untuk menentang bekas anak didik Tat Meng, Ng Ka Long dalam aksi Pusingan 32 Terbuka Korea dan akan bertemu pemenang pertemuan antara Mithun Manjunath dan Ng Tze Yong sekiranya mara.

Komen