Kelantan United FC mengumumkan seorang lagi pemain import dari Uzbekistan, Sirozhiddin Rakhmatullaev dibawa masuk memperkuatkan skuad berjulukan Sang Kijang Hijau bagi menghadapi baki saingan Liga Super Malaysia.
Kehadiran pemain berusia 30 tahun tersebut ke bumi Kota Bharu diumumkan melalui pelbagai media sosial rasmi kelab terbabit.
Sirozhiddin yang beraksi sebagai pemain tengah bertahan (defensive midfielder) lebih banyak menghabiskan masanya bermain dalam saingan Liga Uzbekistan sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah ke Bangladesh pada musim 2020/21.
Ketika mewakili Saif FC di Bangladesh, pemain kelahiran Wilayah Qashqadaryo itu menjaringkan dua gol dan mencatatkan tiga bantuan gol (assists) daripada 26 perlawanannya sebelum kembali ke Uzbekistan untuk beraksi bersama Mash’al Mubarek.
Hadir di Kelantan United, Sirozhiddin dijangka bakal turun bermain dalam aksi menentang Perak pada Jumaat setelah jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka bermula Rabu, 5 Julai 2023.
Selain Sirozhiddin, skuad kendalian Ailton Dos Santos Silva turut mendapatkan tiga lagi pemain import pada jendela perpindahan kali ini iaitu Ismaheel Akinade (Kelantan FC), Kim Min Kyu (Pyeongtaek Citizen FC) dan Kim Deok (Saraburi FC).
Featured Image: Kelantan United FC