Perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei terpaksa akur pulang awal setelah tewas di tangan perseorangan No.2 Hong Kong, Lee Cheuk Yiu di Pusingan 32 Terbuka Kanada.
Di atas kertas, Cheuk Yiu yang juga pilihan keenam kejohanan ternyata memiliki kelebihan untuk memenangi pertemuan sulung di peringkat senior berdasarkan prestasi semasa dan kedudukan dunia melibatkan kedua-dua atlet.
June Wei cuba memberi saingan kepada wakil Hong Kong itu tetapi Cheuk Yiu menampilkan kualiti yang berbeza setelah menang secara “straight set” dengan keputusan 21-16 dan 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 37 minit itu.
Kekalahan terbabit bermakna tamatlah kempen atlet Malaysia dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 itu memandangkan June Wei merupakan satu-satunya wakil negara dalam pertandingan tersebut.
Sebelum ini, June Wei pernah menewaskan Cheuk Yiu secara “straight set” dalam aksi separuh akhir Remaja Jerman 2014 biarpun bertarung sengit dalam kedua-dua set berkeputusan 22-20 dan 23-21.
Untuk makluman, Cheuk Yiu bakal bertemu Magnus Johannesen dalam Pusingan 16 Terbuka Kanada selepas wakil Denmark itu mudah menewaskan rakan senegaranya, Mads Christophersen secara “straight set” dengan skor 21-13 dan 21-10.
Featured Image: Badminton Association Malaysia