Artikel

Cantona, Beckham, Cristiano – Kini Giliran Mount Teruskan Legasi Atau Sumpahan No.7?

Pemain tengah, Mason Mount telah diperkenalkan sebagai pemain terbaharu Manchester United dengan kontrak selama lima tahun sehingga Jun 2028 selepas berhijrah dari kelab kesayangannya, Chelsea. 

Pada hari yang sama, kelab berjulukan The Red Devils itu turut mendedahkan bahawa Mount bakal menyarung jersi bernombor tujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023-24 nanti. 

Eric Cantona, David Beckham dan Cristiano Ronaldo merupakan figura-figura penting yang pernah menyarung nombor terbabit dan berjaya ‘memikul’ harapan peminat dengan membantu pasukan menjulang kejuaraan. 

Nombor jersi pemain kebangsaan England itu didedahkan menerusi video bertempoh lapan saat yang disiarkan bukan sahaja di laman sesawang rasmi kelab malahan di pelbagai media sosial mereka.

Untuk makluman, No.7 merupakan salah satu angka yang penting buat Manchester United kerana secara tradisinya, hanya pemain bintang mereka sahaja yang dapat menyarung nombor keramat tersebut. 

Namun, nombor tujuh bukan lagi nombor yang memberikan harapan buat peminat The Red Devils sebaliknya didakwa mempunyai sumpahannya yang tersendiri kepada sesiapa sahaja yang menyarung nombor terbabit sejak beberapa musim lalu. 

Sebagai contohnya, Alexis Sanchez dan Angel Di Maria yang beraksi baik bersama bekas kelab masing-masing dikatakan mengalami musim buruk bersama Manchester United rentetan menyarung nombor jersi berkenaan. 

Walaupun begitu, kehadiran Mason Mount dilihat dapat membantu jentera tengah skuad kendalian Erik Ten Hag tatkala mereka memerlukan seorang pemain tengah yang berkualiti untuk bergandingan bersama Casemiro dan Bruno Fernandes. 

Bersama Chelsea, Mount telah menjaringkan 58 gol dan mencatatkan 53 bantuan gol (assists) daripada 279 penampilan serta dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan kelab London itu dua musim berturut-turut iaitu 2020-21 hingga 2021-22.

Featured Image: Manchester United 

komen