The Bos Gaurus Ikat Bekas Pemain Harimau Muda C
July 6, 2023 Meor Mohamad Amirul

Perak FC mengumumkan kehadiran pemain tempatan baharu, Azalinullah Alias bagi memperkuatkan jentera tengah skuad berjulukan The Bos Gaurus bagi menghadapi baki saingan Liga Super 2023. 

Azalinullah menjadi pemain ketiga diumumkan kelab milikan XOX Pro Sports itu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia selepas dua pemain import, Jesper Nyholm (Filipina) dan Kim Youn-do (Republik Korea). 

Azalinullah Alias mungkin nama yang agak asing buat penyokong tempatan tetapi tidak buat peminat bola sepak Terengganu selepas menjadi salah seorang watak penting semasa beraksi dengan pasukan itu di bawah kendalian Nafuzi Zain. 

Bermula di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), pemain berusia 27 tahun ini sebenarnya lebih meminati sukan futsal sejak kecil tetapi atas nasihat keluarga, Azalinullah mula berjinak-jinak dengan sukan bola sepak.

Potensi yang ditampilkan anak jati Terengganu itu mendapat perhatian Harimau Muda C semasa akhir tahun Tingkatan 4 di SSBJ dan mula mewakili skuad remaja kebangsaan ketika berumur 17 tahun.

Namun, perjalanan karier Azalinullah tidaklah semudah yang disangka apabila mengalami kecederaan pada anterior cruciate ligament (ACL) sebanyak tiga kali sejak usianya baru mencecah 19 tahun.

Dilepaskan kelab berjulukan Sang Penyu pada penghujung musim lalu, Azalinullah ternyata gembira masih diberikan peluang untuk beraksi dalam Liga Malaysia selepas lebih enam bulan tanpa kelab. 

Untuk makluman, Azalinullah, Jesper dan Youn-do dibenarkan beraksi menentang Kelantan United pada Jumaat sekiranya selesai segala urusan pendokumentasian memandangkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia telah dibuka sejak Rabu, 5 Julai 2023.

Komen