Finalis Liga Europa UEFA (UEL), AS Roma memperkenalkan jersi “home” bagi musim 2023-24 keluaran syarikat pengeluar barangan sukan, Adidas hasil inspirasi daripada jersi AS Roma pada musim 1993-94.
Jersi “home” kelab Itali itu diperkenalkan menerusi sebuah video dikongsikan di laman sesawang dan pelbagai media sosial rasmi kelab yang disiarkan daripada saluran Youtube mereka.
Dalam video yang bertempoh 30 saat itu, para pemain skuad utama dan wanita kelab berjulukan I Giallorossi tampil menyarung jersi terbaharu mereka dengan kapsyen, “From history to the eternal future. Join the pack.” (Dari sejarah ke masa depan yang abadi. Sertai kumpulan kami.)
From history to the eternal future.
Join the pack 🐺💛❤️#ASRoma | @adidasfootball pic.twitter.com/sv8R5XQ6I8
— AS Roma (@OfficialASRoma) July 6, 2023
Hasil pemerhatian awal, jersi kali ini menampilkan warna rasmi Roma iaitu merah manggis sebagai warna asas yang mewarnai hampir keseluruhan kain dan dilengkapkan dengan tiga jalur ikonik syarikat Jerman itu di bahagian bahu yang berwarna kuning keemasan.
Menariknya, Roma dan Adidas membuat keputusan untuk mengubah logo terkini kelab kepada logo klasik yang pernah dipakai selama 19 tahun daripada musim 1978-79 sehingga 1996-1997 hasil ciptaan Piero Gratton.
Secara keseluruhan, jersi yang ditampilkan bagi musim 2023-24 saling tak tumpah seperti jersi kelab itu bagi musim 1993-1994 dan hanya bentuk kolar membezakan identiti kedua-dua jersi tersebut.
Untuk makluman, hubungan Roma dan Adidas kembali bertaut selepas 29 tahun selepas kali terakhir bersama pada tahun 1994, musim yang sama legenda I Giallorossi dan Itali, Francesco Totti melakukan penampilan sulung di Serie A.
Featured Image: AS Roma