Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman denda berjumlah RM120,000 terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesalahan membakar dan menyalakan suar dalam tiga aksi Liga Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Pengumuman itu hadir menerusi kenyataan media yang telah disiarkan di laman sesawang rasmi badan induk bola sepak kebangsaan dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial rasminya, hari ini.
Menurut FAM, mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu pada 30 Mei telah membuat keputusan ke atas setiap kesalahan yang dilakukan dan surat hukuman denda telah dihantar kepada juara bertahan Liga Super tersebut.
Siaran Media: FAM Telah Denda JDT RM120,000 Berhubung Kesalahan Membakar & Menyalakan Suar
▶️ Baca selanjutnya di https://t.co/AZHvLWVk6n#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/E7Ym2jnwqq
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) July 6, 2023
Tiga perlawanan yang terbabit ialah dua aksi Liga Super melibatkan Sabah FC pada 31 Mac dan Kedah Darul Aman FC pada 9 April serta satu perlawanan Piala FA menentang PDRM FC pada 14 April.
Oleh itu, JDT telah dikenakan denda ke atas ketiga-tiga perlawanan tersebut atas dua kesalahan yang sama iaitu menyalakan suar secara serentak serta kegagalan mematuhi obligasi penganjuran sehingga membolehkan kemasukan dan pembakaran suar oleh penyokong.
Kedua-dua kesalahan terbabit bernilai RM30,000 dan RM10,000 masing-masing yang membawa kepada nilai keseluruhan sebanyak RM120,000 daripada tiga perlawanan tersebut.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Tatatertib FAM juga memaklumkan bahawa sudah menjadi amalan untuk mereka tidak membuat sebarang kenyataan media selepas keputusan dibuat selepas ini.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers