Siapa Rafael Silva?
July 6, 2023 Hafizuddin Omar

Pembukaan jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia 2023 menyaksikan kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Sri Pahang FC mendapatkan khidmat seorang pemain import baharu kelahiran Brazil yang bernama Rafael Feital da Silva. Pemain ini bakal berusia 33 tahun pada Oktober kelak dan merupakan seorang penyerang tengah dengan ketinggian 1.82 meter (m). 

Bagi mengenali pemain ini dengan lebih lanjut, berikut Sukanz bawakan lima perkara menarik mengenai Rafael untuk bacaan anda:

#1  Datang Dari Divisyen Kedua Brazil

Pasukan terakhir diwakilinya sebelum menjejakkan kaki di bumi Tok Gajah adalah sebuah kelab yang beraksi dalam divisyen kedua bola sepak negara kelahirannya, Serie B iaitu Ituano FC. Pasukan ini disertainya pada Februari lalu dan berhasil mencetak satu gol hasil daripada tampil sebanyak 13 kali. Pada ketika ini, Ituano berada di tangga ke-13 daripada 20 kelab keseluruhan selepas mengharungi 15 perlawanan.

#2 Salah Seorang Penjaring Terbanyak Liga Indonesia

Para peminat Sri Pahang boleh mengharapkan sesuatu daripada Rafael di bahagian serangan untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia 2023. Ketika musim 2019, Rafael muncul sebagai salah seorang penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia dengan rekod 14 gol berkongsi tangga kelapan hingga kesepuluh dengan David Da Silva (Persebaya) dan Ciro Alves (TIRA-Persikabo). Ketika tempoh pendeknya beraksi dengan Madura United, Rafael sempat menghasilkan enam gol daripada 12 penampilan.

#3 Pernah Bermain Di Iraq, China, Bolivia dan UAE

Kebanyakan karier Rafael tertumpu di Brazil namun dia pernah beberapa kali meninggalkan negara kelahirannya untuk berkelana di beberapa buah negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bolivia dan China selain Indonesia. Penghijrahan Rafel itu membawanya menyertai Hatta Club (2017), Dalian  Always Ready (2020), Dalian Transcendence (2018), Al-Shorta SC (2021) serta dua buah kelab di negara jiran tetangga iaitu Barito Putera (2019, 2022) dan Madura United (2021). Pada peringkat awal kariernya, Rafael turut pernah menjejakkan kaki di bumi Portugal.

#4 Mampu Beraksi Di Posisi Sayap

Kemampuan Rafael untuk berperanan sebagai penyerang tengah sudah terbukti setelah muncul salah seorang penjaring terbanyak di Liga Indonesia. Namun disebalik itu, Rafael turut sama mampu beraksi bahagian sayap kiri dan juga kanan dengan rekod penampilan sebanyak 30 kali dan 9 kali di posisi terbabit masing-masing. Ketika beraksi di sayap kanan, Rafael berhasil menyumbat enam gol di pentas Liga Indonesia.

#5 Pernah Dilatih Oleh Paulo Bento & Rahmad Darmawan

Sekitar tahun 2016, Rafael yang beraksi bersama Cruzeiro dalam kancah tertinggi bola sepak negara kelahirannya, Serie A pernah mendapat sentuhan jurulatih yang pernah mengemudi dua skuad kebangsaan beraksi di pentas Piala Dunia iaitu Paulo Bento. Selain itu, Rafael turut menjadi penyerang pilihan Rahmad Darmawan – jurulatih yang pernah melatih T-Team dalam kancah Liga Malaysia – ketika mengemudi kedua-dua kelab Barito Putera dan Madura United dalam saingan Liga Indonesia.

Featured Image: Sri Pahang FC

Komen