Siapa Kuvondik Ruziev?
July 7, 2023 Meor Mohamad Amirul

Jendela perpindahan pertengahan musim Liga Malaysia 2023 terus dihangatkan lagi dengan kehadiran seorang lagi pemain import yang akan beraksi bersama Sri Pahang dari Uzbekistan iaitu Kuvondik Ruziev. Pemain berusia 29 tahun itu merupakan seorang pemain tengah bertahan (defensive midfielder) berketinggian 1.76 meter. 

Bagi mengenali pemain ini dengan lebih lanjut, berikut Sukanz bawakan lima perkara menarik mengenai Ruziev untuk bacaan anda:

#1 Ahli Skuad Juara Berganda Liga Uzbekistan

Ruziev memulakan kariernya bersama akademi Lokomotiv Tashkent dan menjadi sebahagian daripada skuad juara berganda Liga Uzbekistan bersama pasukan itu pada musim 2015-16 selepas menjuarai Liga Uzbekistan dan Piala Uzbekistan. 

#2 Tidak Pernah Berhijrah Ke Luar Uzbekistan

Walaupun sudah 10 tahun beraksi secara professional, Ruziev tidak pernah berhijrah ke luar negara dengan bermain untuk empat pasukan Liga Super Uzbekistan. Oleh itu, penghijrahannya ke Sri Pahang merupakan satu titik baharu dalam kariernya untuk berkelana ke luar negara. 

#3 Pemain Uzbekistan Kelima Dalam Liga Super 2023

Ruziev pastinya tidak keseorangan di Liga Malaysia dengan seramai empat pemain dari negara asalnya turut beraksi di sini iaitu Sirojiddin Kuziev (Kuching City), Sardor Kulmatov (Terengganu), Sirojiddin Rakhmatullaev (Kelantan United) dan rakan sepasukannya, Sherzod Fayzlev. 

#4 Turut Boleh Beraksi Sebagai Sayap Kanan

Ruziev menghabiskan masanya selaku pemain tengah yang boleh bermain ketika menyerang dan bertahan. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa beliau juga boleh bermain di posisi sayap kanan dalam tujuh penampilannya bersama Navbahor dan tiga lagi bersama skuad kebangsaan Uzbekistan.

#5 Pernah Bermain di Liga Juara-Juara AFC

Pemain terbaharu Sri Pahang ini pernah merasai suasana beraksi di pentas tertinggi Asia bersama Lokomotiv Tashkent. Bersama bekas juara Liga Uzbekistan itu, Ruziev bermain dalam 10 perlawanan di peringkat kumpulan bagi Zon Barat pada musim 2015/16 dan 2016/17.

Featured Image: Sri Pahang FC

Komen