BACJ 2023: Malaysia Gagal Kekang Thailand Di Suku Akhir
July 10, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan pasukan Malaysia dalam acara berpasukan di Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2023 terhenti di peringkat suku akhir. Ianya gara-gara tumpas kepada Thailand merangkap penyandang juara edisi 2019.

Malaysia yang sebelum ini mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir selepas mencatatkan tiga rekod tiga kemenangan tanpa kalah dalam saingan Kumpulan C bertemu Hong Kong, Bangladesh dan India terpaksa akur tunduk 0-3 kepada Thailand dalam pertarungan yang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia itu tadi.

Pertarungan pertama bermula dengan beregu campuran negara yang diwakili Low Han Chen dan Chong Jie Yu turun berhadapan gandingan Tanakorn Meechai dan Fungfa Korpthammakit. Pertarungan ini berakhir dengan Malaysia ketinggalan 0-1 apabila Han Chen-Jie Yu tumpas secara “straight set” dengan skor 20-22 dan 16-21.

Pertarungan kedua melibatkan taruhan daripada perseorangan lelaki masing-masing. Malaysia diwakili oleh Eogene Ewe sementara Thailand pula menurunkan Wongsup Wongsup-IN. Biarpun Eogene berhasil memberikan cabaran sengit namun dia terpaksa akur tumpas selepas berentap dalam tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 17-21 dan 17-21.

Keputusan itu sekaligus memberikan Thailand mendahului dengan selesa menerusi skor 2-0.

Pada pertarungan ketiga, Ung Yi Xing yang merupakan perseorangan wanita turun mewakili Malaysia untuk menentang Saranporn Sombutwatthananukool terpaksa akur tidak dapat mengekang kehebatan Thailand apabila turut tumpas sekaligus menyaksikan pasukan negara tersingkir daripada acara ini setelah kalah dengan keputusan 0-3.

Dalam pertarungan terbabit, Yi Xing tumpaskan kepada Saranporn secara “straight set” dengan skor 15-21 dan 9-21.

Bagaimanapun, kemaraan pada kali ini berhasil memperbaiki pencapaian pasukan negara pada edisi lalu di Suzhou, China pada tahun 2019 yang terkandas di peringkat kumpulan setelah tumpas kepada Jepun dan Indonesia.

Sebagai rekod, kejohanan ini dianjurkan semula selepas tertangguh selama tiga tahun dari 2020 hingga 2022 ekoran pandemik Covid-19.

Komen