Chelsea Lancar Jersi Home 2023-24 Tanpa Logo Penaja
July 10, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab yang dimiliki oleh konsortium yang diketuai oleh Todd Boehly, Chelsea tampil memperkenalkan jersi “home” baharu bagi menghadapi musim bola sepak 2023-24 pada hari ini. Menariknya, pengenalan tersebut menyaksikan jersi keluaran syarikat barangan sukan terkenal dari Amerika Syarikat iaitu Nike hadir tanpa logo penaja.

Menurut Chelsea, rekaan jersi yang akan digunakan bagi perlawanan-perlawanan di halaman rasminya, Stamford Bridge masih mengekalkan warna biru namun disertakan dengan rekaan berwarna putih di hujung dan bawah lengan – inspirasi rekaan jersinya musim 1997-98.

Manakala logo kelab serta lambang “swoosh” milik Nike pula hadir dengan rekaan warna emas yang berkilau. 

Sebelum ini, bahagian hadapan jersi Chelsea dihiasi dengan logo syarikat telekomunikasi British iaitu Three. Bagaimanapun, kontrak bersama syarikat terbabit telah tamat bersama skuad yang bakal mendapat sentuhan bimbingan Mauricio Pochettino ini.

Pada masa yang sama, terdapat rundingan bersama syarikat lain dijalankan sebelum ini namun kesemuanya tidak dapat dimuktamadkan sekaligus membuat mereka terpaksa melancarkan jersi “home” tanpa penaja ini agar para penyokong dapat membeli jersi baharu sebelum bermulanya saingan baharu pada Ogos nanti.

Untuk makluman semua, musim 1997-98 menyaksikan skuad berjulukan The Blues yang dibarisi pemain-pemain seperti Gianfranco Zola, Dennis Wise dan Roberto di Matteo berhasil menjuarai saingan UEFA Cup Winners’ Cup serta Piala Liga.

Featured Image: Chelsea FC

Komen