CEO Capital A Lepaskan Semua Pegangan Queens Park Rangers
July 11, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A (dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group), Tony Fernandes kini tidak lagi memegang sebarang saham dalam QPR Holdings Limited – syarikat induk bagi kelab bola sepak yang beraksi dalam kancah Liga Kejuaraan Inggeris, Queens Park Rangers (QPR).

Perkembangan ini hadir selepas ahli lembaga pengarah kelab berjulukan The Hoops itu mengeluarkan satu kenyataan bahawa Tony Fernandes telah membuat keputusan untuk mengurangkan pegangannya bagi menumpukan masanya kepada perniagaannya yang lain.

Untuk pengetahuan semua, Tony bersama-sama Ruben Gnanalingam dan Kamarudin Meranun mengambil alih majoriti saham QPR pada tahun 2011 sekaligus menjadi pemilik baharu kelab berkenaan.

View this post on Instagram

A post shared by QPR FC (@officialqpr)

Pada masa yang sama, beliau turut berperanan sebagai pengerusi bersama Ruben sehingga tahun 2018. Selepas itu, kerusi pengerusi terbabit beralih kepada ahli perniagaan British-India, Amit Bhatia.

Tony menyifatkan peralihan jawatan kepada ahli perniagaan terbabit adalah sesuatu yang baik untuk QPR kerana mempunyai pengerusi yang tinggal di United Kingdom (UK) sendiri.

Sebagai rekod, QPR berhasil tampil sebanyak tiga kali dalam kancah tertinggi bola sepak England iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL) semenjak berada di bawah pemilikan Tony iaitu musim 2011-12, 2012-13 dan 2014-15. 

Featured Image: QPR FC

Komen