Astro selaku penyiar rasmi saingan Sepak Takraw League (STL) mengambil inisiatif dan peluang untuk mengadakan Klinik STL dan juga sesi beramah mesra bersama hos dan pemain-pemain STL.
Baru-baru ini, Klinik STL ini telah diadakan di Sekolah Antarabangsa Sri Kuala Lumpur, Subang. Ketika saingan STL menjelajah di Negeri Sembilan, Klinik STL ini turut diadakan di SMK Seri Ampangan, Seremban. Menariknya, ianya mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran 500 dan 700 orang pelajar masing-masing.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkongsikan bahawa Klinik STL ini diadakan dengan tujuan untuk mencungkil bakat-bakat baru dan membawa jenama STL di peringkat akar umbi.
Selain itu, ianya membuka peluang buat pemain-pemain STL yang juga merupakan pemain kebangsaan dan profesional untuk mendekatkan diri bersama komuniti dan mempamerkan aksi mereka bagi menarik lebih ramai pelajar meminati sukan ini.
Sementara itu, bekas pemain sepak takraw negara, Azlan Mubin yang juga merupakan hos STL berkata, pengenalan STL dan klinik yang diadakan ini dapat memberi peluang buat pelajar-pelajar tanpa mengira bangsa untuk mempelajari sukan tradisi ini.
Tambahnya lagi, “pendedahan sukan takraw seharusnya bermula di peringkat sekolah dan pendekatan ini jugalah yang dilakukan oleh kuasa besar sepak takraw dari negara jiran iaitu Thailand mencari pelapis-pelapis baru dengan mewajibkan sukan ini di setiap sekolah dengan memupuk semangat mereka untuk mempelajari sukan ini.”
Difahamkan, Klinik STL ini akan terus diadakan di sekolah-sekolah terpilih lain secara berperingkat dan penambahbaikan berterusan akan diadakan pada musim akan datang.
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!