Jurang antara perseorangan badminton lelaki No.1 dan No.2 negara iaitu Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong dalam Ranking Dunia semakin mengecil.
Ini selepas kemaskini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan Zii Jia jatuh satu lagi anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-17 dunia.
Sebagai rekod, ini merupakan kejatuhan kelima berturut-turut sejak awal Jun lalu. Ketika itu, pemain berusia 25 tahun kelahiran Alor Setar ini menghuni tangga kesepuluh dunia.
Sementara itu, kedudukan Tze Yong pula kekal di tangga ke-21 dunia kekal sejak penghujung Jun lalu.
Kejatuhan itu menjadikan Zii Jia yang pernah menghuni ranking kedua dunia pada suatu masa dahulu kini hanya berbeza sebanyak empat anak tangga sahaja.
Daripada segi pungutan mata pula, Zii Jia kini mempunyai 53,156 mata manakala Tze Yong pula memiliki 46,000 mata – perbezaan sebanyak 7,156 mata antara kedua-dua pemain.
Zii Jia yang sebelum ini mengumumkan untuk berhenti dan berehat seketika daripada badminton akan kembali beraksi dalam kejohanan Terbuka Korea dan Terbuka Jepun bermula 18 dan 25 Julai masing-masing. Dua kejohanan terbabit turut sama akan disertai oleh Tze Yong.
Menarik untuk disaksikan samada Zii Jia dapat mendaki kembali dalam Ranking Dunia lebih-lebih lagi dengan kehadiran Wong Tat Meng selaku Pengarah Kejurulatihan baharunya sekaligus mengukuhkan kedudukannya selaku pemain No.1 negara atau dipintas oleh Tze Yong.