Gandingan semula beregu lelaki, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil mencatatkan kemenangan pertama selepas berpisah sekitar enam bulan lalu. Mereka melakar kemenangan penuh bermakna itu ketika turun menentang pasangan Mexico yang menghuni ranking ke-81 dunia, Job Castillo dan Luis Armando Montoya Navarro pada pagi tadi waktu Malaysia.
Pemain berusia 25 tahun masing-masing terbabit melakar kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-13 dalam tempoh masa 25 minit permainan sahaja. Kemenangan di Pusingan 32 itu sekaligus membolehkan mereka langkah kanan dalam saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang bertaraf Super 300.
YONEX US Open 2023
MD – R32
🇲🇾GOH Sze Fei🏅
21 21 🇲🇾Nur IZZUDDIN🏅
🇲🇽Job CASTILLO
16 13 🇲🇽Luis Armando MONTOYA NAVARRO🕚 in 25 minutes
— BWFScore (@BWFScore) July 11, 2023
Kemenangan itu membawa Sze Fei-Izzuddin yang kini berada di ranking ke-53 dunia merangkap pilihan ketiga kejohanan ke Pusingan 16 bertemu pasangan tuan rumah, Chen Zhi Yi dan Presley Smith yang berada di tangga ke-53 dunia.
Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan ini belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini sekaligus menjadikannya sebagai pertemuan sulung.
Untuk makluman semua, Sze Fei dan Izzuddin yang pernah menghuni ranking kesembilan dunia – tertinggi pernah dicapai mereka – membuat keputusan untuk bergandingan semula bagi mengejar cita-cita ke temasya Sukan Olimpik.