Kelibat Jaguh karate negara, Sharmendran Raghonathan tidak akan kelihatan di Kejohanan Karate Asia Edisi Ke-19 yang akan berlangsung di Pusat Perdagangan Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula 21-23 Julai hadapan.
Pengesahan ini hadir menerusi Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad dalam sidang media kejohanan yang berlangsung di Auditorium Majlis Sukan Negara (MSN), pada hari ini.
Atlet berusia 30 tahun terlepas peluang beraksi di kejohanan ini ekoran mengalami kecederaan semasa sesi latihan pusat di Mesir, bulan lalu. Difahamkan, Institut Sukan Negara (MSN) telah memberi “lampu hijau” buat Sharmendran bertanding namun Azmi mahu “menyimpan” atlet berusia 30 ini agar benar-benar bersedia untuk beraksi di temasya Sukan Asia kelak.
“Kecederaannya tidak begitu serius, tetapi saya perlukan dia di Sukan Asia. Kami akan gantikan dia dengan Syafiq. Kalau Syafiq berjaya dapatkan pingat emas, ini menjadi cabaran kepada Sharmendran kerana kami akan pilih yang terbaik untuk ke Sukan Asia,” katanya.
Dalam sidang media yang sama, Azmi turut meletakkan sasaran buat 22 atlet karate negara yang akan bertanding di kejohanan ini dapat memperbaiki pencapaian mengutip dua pingat gangsa di Kejohanan Karate Asia pada penghujung tahun lalu di Uzbekistan dengan merangkul sekurang-kurangnya satu pingat emas.
“Saya sasarkan 1 pingat emas sebab itu adalah target (sasaran) yang saya letak semasa mula-mula memegang jawatan (presiden) dahulu. Ini adalah ‘kerja rumah’ untuk mereka.
“Tujuan kita nak dapat pingat emas sebab beri manfaat kepada negara, selain kejayaan untuk atlet itu sendiri, bahkan MAKAF juga membantu Malaysia membutirkan pingat. Saya sebagai presiden beri apa yang mereka perlu, mereka juga perlu beri saya satu pingat emas,” ulasnya.
Untuk pengetahuan semua, kejohanan ini bakal mempertandingkan sejumlah 17 kategori secara keseluruhan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing. Sementara itu, baki enam lagi kategori adalah berpasukan Kata dan Kumite bagi lelaki dan wanita.
Seramai lebih 500 atlet karate dari 32 negara bakal menyemarakkan kejohanan kejohanan kali ini termasuk atlet No.1 dunia dari Jepun, Kakeru Nishiyama dalam acara Kata lelaki serta atlet No.3 dunia dari Jordan, Abdul Rahman Almasatfa dalam acara Kumite lelaki.
Dalam pada itu, Kejohanan Para Karate Asia Ke-2 akan turut berlangsung serentak dengan Kojohanan Karate Asia Ke-19 di venue yang sama bagi memastikan atlet para menerima tumpuan yang sama ketika kejohanan itu nanti.