Penganjur bola sepak tanah air, Malaysian Football League (MFL) mengesahkan tiket perlawanan akhir Piala FA 2023 melibatkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) akan diagihkan sama rata.
Pada masa yang sama, MFL dalam kenyataannya pada hari ini turut memaklumkan menyerahkan sepenuhnya proses penjualan tiket-tiket tersebut kepada pihak pengurusan skuad berjulukan Harimau Selatan dan City Boys masing-masing.
“Pihak JDT dan Kuala Lumpur City akan memaklumkan cara penjualan tiket kepada penyokong mereka namun dengan persetujuan bersama kedua-dua pasukan, sekiranya ada pasukan yang gagal menjual kesemua tiket yang diperuntukkan itu, maka baki tiket berkenaan akan dijual kepada umum,” jelas MFL.
Sepertimana perlawanan akhir edisi lalu, MFL akan menawarkan lima kategori tiket untuk para penonton yang terdiri daripada General Admission, FA Cup Grandstand, FA Cup Premium, MFL Premium dan MFL Grandstand.
“MFL telah membahagikan tiket mengikut beberapa kategori dengan harga tiket bermula dengan General Admission berharga RM50, FA Cup Grandstand RM100, FA Cup Premium RM150, MFL Premium RM150 dan MFL Grandstand RM200.”
“Penetapan harga tiket mengikut kategori ini sama seperti yang telah dilakukan oleh MFL pada perlawanan akhir mana-mana kejohanan Piala FA dan juga Piala Malaysia sebelum ini di mana ia memberikan lebih pilihan buat penyokong untuk hadir ke stadium.”
“Istimewa kali ini bagi penyokong yang membeli tiket MFL Grandstand RM200 akan menerima barangan ekslusif perlawanan akhir Piala FA 2023,” tambah MFL.
Untuk makluman, perlawanan akhir Piala FA edisi ke-32 ini akan dijadualkan berlangsung pada 22 Julai hadapan dengan waktu sepak mula pada jam 9 malam.