Kejohanan Olahraga Asia: Jaguh 400m Sukan SEA Kandas Di Separuh Akhir
July 13, 2023 Hafizuddin Omar

Pelumba negara yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 dalam acara 400 meter (m) lelaki, Umar Osman terpaksa akur gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir di Kejohanan Olahraga Asia Kali Ke-25 yang berlangsung di Bangkok, Thailand.

Pelumba muda yang berusia 20 tahun terbabit tidak melakar kemaraan terbabit selepas menamatkan perlumbaan peringkat separuh akhir saringan 1 di tempat keempat – di belakang Fuga Sato, Aruna Dharshana dan Ramesh Rajesh.

Dalam perlumbaan itu juga, ketiga-tiga pelumba dari Jepun, Sri Lanka dan India terbabit menamatkan perlumbaan masing-masing dengan catatan masa 45.61s, 45.79s dan 45.91s masing-masing. Manakala Umar pula melintasi garisan penamat dengan catatan masa 46.42s. 

Terlebih dahulu, Umar berhasil menempah tiket secara automatik ke peringkat separuh apabila menamatkan larian di pusingan 1 dalam saringan 3 di tempat ketiga dengan catatan masa 46.72s.

Sebagai perbandingan, lariannya ketika merangkul emas di Kemboja pada Mei lalu adalah lebih pantas iaitu 46.34s.

Featured Image:  Instagram Umar Osman

Komen