Kuartet 4×100 meter (m) negara yang terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dan Muhammad Azeem Mohd Fahmi menamatkan perlumbaan akhir di Kejohanan Olahraga Asia Ke-25 dengan catatan masa 39.17 saat (s).
Catatan masa tersebut direkodkan setelah Azeem yang menjadi pelumba negara keempat melintasi garisan penamat sekaligus menduduki tempat keenam dalam perlumbaan yang berlangsung di Stadium Suphachalasai, Bangkok semalam.
Dalam perlumbaan terbabit, kuartet tuan rumah yang terdiri daripada Natawat Iamudom, Soraoat Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson berjaya merangkul pingat emas dengan catatan masa 38.55s – rekod baharu kejohanan.
Ianya diikuti oleh kuartet China (Wu Zhiqiang, Xie Zhenye, Chen Jiapeng, Chen Guanfeng) dan Korea (Simon Lee, Ko Seung-hwan, Shin Min-kyu, Park Won-jin) yang membawa pulang pingat perak dan gangsa dengan masa larian 38.87s dan 38.99s masing-masing.
Terlebih dahulu, kuartet negara berhasil mengesahkan tempat ke perlumbaan akhir apabila menamatkan perlumbaan pusingan 1 dalam saringan 1 di tempat kedua di belakang Thailand dengan catatan masa 39.20s.
Sebagai perbandingan, catatan masa kuartet negara yang dibaris Muhammad Zulfiqar Ismail. Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan semasa memenangi pingat gangsa di temasya Sukan SEA 2023 pada Mei lalu adalah 39.36s.
Sementara itu, rekod kebangsaan bagi acara ini dipegang oleh gandingan Muhammad Azeem, Muhammad Arsyad, Muhammad Zulfiqar dan Haiqal Hanafi dengan catatan masa 39.09s yang dilakukan ketika berentap di Sukan SEA 2021 Vietnam.
Featured Image: Asian Athletics 2023