KV Kortrijk Kekal Milik Orang Malaysia
July 13, 2023 β€’ Hafizuddin Omar

Kelab yang beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak Belgium, KV Kortrijk kekal menjadi milik orang Malaysia merangkap individu ke-28 terkaya negara menurut Majalah Forbes iaitu Tan Sri Vincent Tan.

Pertengahan Jun lalu, KV Kortrijk mengesahkan bahawa kelab tersebut akan dijual kepada Kaminski Group yang dikepalai ahli perniagaan Amerika Syarikat-Poland, Maciek Kaminski.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru daripada KV Kortrijk memaklumkan proses penjualan terbabit telah telah terhenti sekaligus dibatalkan secara rasminya.

Sehubungan itu, Vincent Tan yang merupakan pengasas Berjaya Corporation Berhad (BCorp) kekal menjadi pemilik kelab serta meneruskan komitmen terhadap KV Kortijk – kelab sama yang mengikat kontrak penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin selama lima tahun.

KV Kortrijk memaklumkan Vincent Tan telah melabur banyak dalam pelbagai aspek operasi dan kesukanan kelab berjulukan De Kerels itu. Beliau akan terus berbuat demikian pada masa hadapan sebagai contoh pembinaan kompleks latihan baharu di Kouterveld.

Perkembangan ini juga menjadikan Vincent Tan kekal mempunyai tiga buah kelab bola sepak di eropah termasuk Cardiff City di Wales, United Kingdom dan kelab yang beraksi di Liga Perdana Bosnia & Herzegovina, FK Sarajevo.

Komen