Safuwan: Saya Ada Menerima Tawaran Liga Thailand, Tetapi Ibu Bapa Saran Terus Berada Di Liga Malaysia
July 13, 2023 Hafizuddin Omar

Pertahan skuad kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin membuat keputusan untuk menyertai semula Selangor FC setelah menerima saranan daripada ibu bapanya agar kekal beraksi dalam kancah Liga Malaysia biarpun mendapat beberapa tawaran daripada kelab Liga Thailand.

Selain itu, penyertaannya turut dipengaruhi oleh keberadaan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Tan Cheng Hoe yang kini berjaya mengemudi Selangor menghuni tangga kedua Liga Super selepas 16 perlawanan.

Pemain berusia 31 tahun ini diperkenalkan semula secara sebagai pemain skuad Gergasi Merah pada hari ini, sehari selepas bekas kelab yang disertainya selama separuh musim, Negeri Sembilan FC kendalian K. Devan mengumumkan melepaskannya.

“Saya ada menerima beberapa tawaran dari Liga Thailand tetapi setelah berhubung dengan kedua ibu bapa saya, mereka menyarankan saya untuk terus berada di Liga Malaysia untuk baki enam bulan terakhir musim ini, iaitu bersama Selangor FC,”

“Dalam masa yang sama, antara yang menarik minat saya untuk kesini adalah saya belum pernah bermain di bawah jagaan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.”

“Selain itu, hubungan dengan rakan sepasukan Gergasi Merah akan membantu untuk saya menjalankan tanggungjawab di sini terutamanya dari segi komunikasi kerana separuh daripada pasukan merupakan rakan sepasukan sebelum ini,”

“Saya juga berharap keserasian bersama pemain-pemain import dan beberapa pemain lokal baharu pasukan akan terjalin,” jelasnya seperti dipetik daripada halaman rasmi Selangor FC.

Untuk makluman semua, sebelum menyertai Negeri Sembilan, Safuwan telah menyarung jersi Merah Kuning selama tiga musim dengan mencatatkan 37 penampilan dalam keseluruhan pertandingan.

Bagaimanapun, kecederaan dialaminya enam bulan terakhir pada musim lalu memaksanya untuk membuat keputusan keluar meninggalkan Selangor demi kebaikan diri dan juga kelab.

“Saya gembira dapat kembali ke sini selepas enam bulan meninggalkan pasukan. Saya berharap penyokong dapat menerima kepulangan saya. Bagi saya, pasukan bola sepak tanpa penyokong tidak akan berjaya. Semoga kita dapat bekerjasama untuk Selangor FC,” tambahnya lagi.

Featured Image: Selangor FC

Komen