Atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli berjaya membutirkan pingat perak di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Paris.
Kejayaan itu hadir setelah melakukan lontaran sejauh 17.21 meter (m) pada peringkat akhir dalam acara lontar peluru F20.
Atlet berusia 33 tahun ini terlepas peluang untuk merangkul kilauan emas setelah pencabarnya dari Ukraine, Maksym Koval melakukan lontaran yang yang lebih baik iaitu 17.57m.
Sementara itu, Oleksandr Yarovyi dari negara yang sama membawa pulang pingat gangsa dengan lontaran sejauh 16.99m.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Ziyad merangkul pingat perak di kejohanan yang sama setelah merangkulnya dalam edisi 2019 di Dubai.
Manakala pencapaian terbaiknya pula di kejohanan ini muncul pada edisi 2017 di London apabila lontarannya sejauh 17.29m – rekod peribadi terbaiknya sehingga kini.
Pada masa yang sama, kejayaannya merangkul pingat perak di Paris, semalam telah memberikannya slot ke Paralimpik Paris 2024 sepertimana penetapan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa – empat atlet teratas di Kejohanan Olahraga Para 2023.