Pencabar Harimau Malaya Ambil Jurulatih Yang Membawa Chile Menjuarai Copa America
July 14, 2023 Hafizuddin Omar

Salah satu pencabar kepada skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya di pentas Piala Asia kelak mengumumkan menggunakan khidmat jurulatih yang pernah menjulang Copa America Centenario.

Pasukan yang dimaksudkan tersebut ialah Bahrain yang baru sahaja mengumumkan perlantikan Juan Antonio Pizzi, 55 tahun, sebagai ketua jurulatih baharunya menerusi platform media sosialnya, baru-baru ini.

Untuk makluman, Juan yang memulakan karier kejurulatihan sekitar tahun 2005 mendapat perhatian dunia apabila membawa skuad La Roja yang dibarisi beberapa pemain bintang eropah seperti Alexis Sanchez, Arturo Vidal dan Claudio Bravo menumpaskan Argentina dalam perlawanan akhir pada tahun 2016. 

Kemenangan menerusi penentuan sepakan penalti itu sekaligus membolehkan Chile menjuarai kejohanan yang bersempena dengan 100 tahun penubuhan CONMEBOL dan penganjuran Copa America terbabit.

View this post on Instagram

A post shared by Bahrain Football Association (@bahrainfa)

Selain itu, Juan turut mempunyai pengalaman membimbing pasukan di kejohanan bola sepak terulung dunia iaitu Piala Dunia FIFA. Ianya hasil daripada Juan menerima tugasan untuk melatih skuad kebangsaan Arab Saudi sekitar November 2017 dan membawa pasukan itu beraksi di pentas Piala Dunia 2018 Rusia.

Ini bermakna, Bahrain menjadi pasukan kedua dikemudi oleh jurulatih mempunyai pengalaman di pentas Piala Dunia perlu dihadapi oleh Harimau Malaya peringkat Kumpulan E di Piala Asia pada Januari hadapan selain Republik Korea bimbingan Jurgen Klinsmann.

Untuk makluman, karier kejurulatihan Juan bermula bersama Colon Santa Fe – sebuah kelab berpangkalan di negara kelahirannya. Kemudiannya, Juan berhijrah ke beberapa buah kelab di pelbagai negara rantau amerika selatan sebelum menguruskan Valencia dalam kancah La Liga pada tahun 2013.

Kelab terakhir yang dikemudinya sebelum menerima tugas sebagai ketua jurulatih Bahrain ialah Al Wasl yang beraksi dalam kancah bola sepak Emiriah Arab Bersatu (UEA).

Sebagai tambahan, Malaysia yang julung kalinya layak ke pentas Piala Asia secara merit selepas 43 tahun telah diundi dalam Kumpulan E bersama-sama Republik Korea, Bahrain dan Jordan.

Featured Image: Seleccion Chilena

Komen