Artikel

Sze Fei-Izzuddin Rangkul Gelaran Jelajah Dunia Kedua Di Terbuka AS

Keputusan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin untuk bergandingan semula selepas berpisah sekitar enam bulan membuahkan kejuaraan Jelajah Dunia BWF yang kedua dalam karier mereka.

Gandingan pemain berusia 25 tahun masing-masing ini mengesahkan kejuaraan tersebut apabila berhasil menumpaskan beregu Chinese Taipei yang berada di ranking ke-27 dunia, Lee Fang-chih dan Lee Fang-jen dalam perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS), pada pagi tadi waktu Malaysia.

Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin bukan sahaja berhasil melakar kemenangan bahkan menundukkan lawannya itu dengan mudah secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-10 dalam tempoh sekitar setengah jam permainan sahaja.

Kemenangan itu juga menjadikan Sze Fei-Nur Izzuddin meraih kemenangan kedua berturut-turut ke atas pasangan yang sama selepas berbuat demikian dalam kejohanan Siri Antarabangsa Vietnam pada tahun 2016 yang lalu.

Sementara itu, kemenangan Sze Fei-Izzuddin di Terbuka AS – sebuah kejohanan bertaraf Super 300 – memberikan mereka ganjaran 7,000 mata bagi pengiraan pelbagai ranking serta wang tunai bernilai AS$16,590 atau bersamaan sekitar RM75,000.

Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin julung kalinya merangkul kejuaraan Jelajah Dunia BWF ketika menyertai Terbuka Jerman 2022.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen