Inter Miami Ikat Messi, Busquets Sehingga Tahun 2025
July 17, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab yang dimiliki oleh bekas bintang bola sepak England, David Beckham bersama-sama ahli perniagaan, Jorge Mas dan Jose Mas iaitu Inter Miami CF telah melengkapkan perpindahan dua pemain ternama dunia, Lionel Messi dan Sergio Busquets.

Kehadiran dua pemain yang pernah beraksi bersama di FC Barcelona itu diumumkan dan diperkenalkan kepada umum dalam satu acara yang berlangsung di stadiumnya, DRV PNK Stadium, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Inter Miami atau nama julukannya, The Herons memaklumkan mengikat khidmat Messi yang memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak tujuh kali itu serta Busquets selama dua musim dan setengah yang menyaksikan mereka kekal sehingga penghujung tahun 2025.

Bersama Inter Miami, pemain berusia 36 dan 35 tahun masing-masing ini akan menyarung jersi bernombor 10 dan 5 masing-masing – sama seperti digunakan mereka ketika beraksi di Barcelona.

Dijangkakan, Messi dan Busquets akan diturunkan buat julung kalinya bersama Inter Miami ketika melayan kunjungan kelab Liga Mexico, Cruz Azul dalam perlawanan pembukaan saingan Leagues Cup (bagi merebut slot ke CONCACAF Champions Cup 2024) dengan sepak mula jam 8 pagi pada 22 Julai – waktu Malaysia.

Sebagai tambahan, pihak kelab turut memaklumkan mendaftarkan Messi dan Busquets sebagai “Designated Player” – satu peraturan oleh Liga Bola Sepak Utama (MLS) yang membolehkan setiap kelab mengambil atau membayar sehingga tiga pemain melebihi Caj Bajet Gaji Maksimum (Maximum Salary Budget Charge).

Featured Image: Facebook David Beckham

Komen