KL City Bekerjasama Dengan Kelab LaLiga – Buka Peluang Atur Pramusim Di Sepanyol
July 17, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) berpeluang untuk mengadakan latihan pramusimnya di Sepanyol – sebuah negara yang berada di tangga kesepuluh dunia berdasarkan ranking FIFA pada ketika ini.

Perkembangan ini hadir apabila KL City yang dibimbing oleh Bojan Hodak menandatangani perjanjian kerjasama dengan sebuah pasukan yang beraksi dalam kancah LaLiga iaitu Cadiz CF melibatkan beberapa bidang untuk manfaat bersama.

Menurut perkongsian oleh pihak kelab, kerjasama ini membolehkan KL City menggunakan kemudahan sukan yang dimiliki Cadiz sekaligus membuka peluang untuk mereka mengadakan latihan pramusim di Sepanyol kelak.

Selain itu, KL City juga berpeluang untuk berentap dengan pasukan pertama Cadiz – yang menamatkan kempen LaLiga di tangga ke-14 musim lalu – dalam perlawanan persahabatan.

Sementara itu, Cadiz menerusi pemilik bersamanya, Ben Harburg melihat kerjasama ini sebagai langkah pertama yang penting untuk memperkenalkan jenama pasukannya dalam pasaran Malaysia. 

Tambahan pula, mereka yang mempunyai fokus strategik di asia tenggara turut memasang hasrat untuk membawa pasukannya ke rantau ini dalam masa terdekat.

Menerusi perjanjian kerjasama ini, kedua-dua kelab akan saling berusaha untuk mempromosikan jenama dan imej masing–masing di Sepanyol dan Malaysia serta meneroka kerjasama lain yang dapat memberikan manfaat komersial kepada kedua-dua pihak.

Sebagai rekod, ini bukanlah julung kalinya KL City menandatangani perjanjian kerjasama dengan kelab antarabangsa khususnya sejak berada di bawah kemudi Stanley Bernard sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Sekitar Oktober 2021, juara Piala Malaysia 2021 ini telah menandatangani perjanjian dengan kelab gergasi Iran yang beraksi dalam kancah Pro Gulf League iaitu Sepahan SC.

Komen