Artikel

Kejohanan Olahraga Para Dunia: Latif Romly Tambah Koleksi Emas Acara Lompat Jauh T20

Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly menambah satu lagi koleksi kilauan pingat emas daripada Kejohanan Olahraga Para Dunia dalam kariernya. 

Koleksi tersebut bertambah setelah atlet berusia 26 tahun ini memenangi acara lompat jauh kategori T20 (kecacatan intelektual) di kejohanan yang berlangsung di Stadium Charlety, Paris, semalam.

Latif muncul pemenang bagi acara itu apabila melakukan lompatan terbaiknya pada percubaan kedua dengan jarak sejauh 7.40 meter (m) – rekod kejohanan – yang mana tidak mampu diatasi oleh atlet-atlet lain.

Pencabar terdekatnya, Noah Vucsics dari Kanada hanya merekodkan lompatan terbaik sejauh 7.35m sekaligus terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat perak.

Sementara itu, pingat gangsa pula menjadi milik atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan rekod lompatan terbaik sejauh 7.12m.

Pencapaian Latif pada kali ini mengulangi kejayaannya merangkul emas ketika menyertai Kejohanan Olaraga Para Dunia di Qatar (2015) dan London (2017).

Manakala edisi Dubai (2019) pula menyaksikan Latif terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat perak.

Sebagai tambahan, Latif juga merupakan pemegang rekod dunia dalam acara ini dengan lompatan sejauh 7.64m dilakukannya ketika memenangi pingat emas di temasya Sukan Para Asia 2018.

Featured Image: Para Athletics

komen