Ranking BWF: Juara Terbuka AS Hampiri Kelompok 45 Dunia
July 18, 2023 Hafizuddin Omar

Gandingan semula Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mencatatkan peningkatan ketara dalam kedudukan ranking dunia susulan kejayaan menjuarai saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Kejuaraan itu hasil daripada Sze Fei-Izzuddin mencatatkan kemenangan ke atas beregu Chinese Taipei, Lee Fang-chih dan Lee Fang-jen secara “straight set” dengan skor 21-9 dan 21-10 dalam perlawanan akhir, pagi semalam waktu Malaysia.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan gandingan pemain berusia 25 tahun masing-masing itu melonjak sebanyak tujuh anak tangga sekaligus meletakkan mereka di ranking ke-46 dunia berbanding ke-53 pada minggu lalu.

Untuk makluman semua, kemenangan dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300 terbabit memberikan mereka 7,000 mata dan secara keseluruhannya Sze Fei-Izzuddin memiliki 27,500 mata.

Sementara itu, kemaskini pada hari ini juga memperlihatkan beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kekal di tangga keempat dunia.

Selain itu, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi selaku beregu No.2 tanah air turut sama tidak berganjak daripada kedudukan keenam dunia.

Bagaimanapun, lain pula perkembangannya melibatkan gandingan No.3 negara iaitu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun apabila mencatatkan penuruanan satu anak tangga sekaligus berada di tangga ke-24 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen