Pemain beregu wanita tanah air, Pearly Tan kini memegang rekod Pukulan Badminton Terpantas (Wanita) setelah melakukan satu pukulan dengan kelajuan 438km/j, umum pembuat barangan badminton, Yonex.
Pemain kelahiran negeri Kedah berusia 23 tahun terbabit melakukan pukulan tersebut menggunakan raket jenis Nanoflare 1000 Z dan bertalikan Exbolt 63 buatan Yonex pada 14 April 2023 bertempat di gimnasium milik Yonex Co Ltd di Saitama, Jepun.
Ukuran kelajuan berdasarkan keputusan yang terhasil daripada percubaan Pearly itu mendapat pengesahan daripada juri rasmi Guinness World Records (GWR) yang hadir pada hari tersebut.
Untuk makluman semua, Pearly yang menjuarai Terbuka Perancis 2022 – sebuah kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 – bersama Thinaah Muralitharan merupakan pemain badminton wanita pertama yang memegang rekod ini secara rasmi.
Sebelum ini, tiada mana-mana pemain, atlet mahupun individu diiktiraf sebagai pemegang rekod Pukulan Badminton Terpantas (Wanita) oleh GWR.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023