Arena bola sepak tanah air menerima perkhabaran mengejutkan serta menyedihkan apabila bekas ketua jurulatih kebangsaan, B. Satiananthan meninggal dunia sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif merangkap Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi & Perhubungan Awam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Christopher Raj mengesahkan perkara berkenaan menerusi ciapan di akaun media sosial peribadinya.
Difahamkan, jurulatih yang membawa skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) menjuarai Pesta Bola Merdeka 2007 meninggal dunia pada usia 65 tahun disebabkan oleh kanser.
Rest in Peace Anna, you fought a good fight. #BSathinathan pic.twitter.com/y653gZTfdB
— Christopher Raj 🇲🇾 (@chrisraj23) July 18, 2023
Selain kejuaraan terbabit, jurulatih kelahiran Perak yang dikenali ramai dengan panggilan Coach Satia ini turut pernah membimbing Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat julung kalinya pada tahun 2010.
Selain itu, beliau turut sama membantu ATM dan Felda United menjulang trofi Liga Premier pada tahun 2012 dan 2018 masing-masing sekaligus mendapat promosi ke saingan Liga Super.
Sekitar 2018 hingga 2020 pula, Satiananthan membimbing Selangor FC sebelum khidmatnya diintai oleh Sarawak United FC sebagai pengarah teknikal serta ketua jurulatih dari 2021 hingga 2022.
Sebagai tambahan, Satiananthan juga mempunyai peranan sebagai Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).
Featured Image: Selangor FC