Terbuka Korea: Juara Terbuka Malaysia Singkir Pearly-Thinaah Di Pusingan 16
July 20, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan beregu badminton wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dalam saingan Terbuka Korea 2023 terhenti setakat Pusingan 16 sahaja.

Ianya gara-gara terpaksa akur dengan kehebatan lawannya, juara Terbuka Malaysia 2023 merangkap beregu No.1 dunia, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan.

Bagaimanapun, ketika turun berhadapan dengan pasangan dari China itu, Pearly-Thinaah yang kini berada di ranking ke-11 dunia tidak memberikan mereka laluan yang mudah.

Dalam pertarungan tersebut, Qing Chen-Yi Fan terpaksa menghadapi tiga set permainan terlebih dahulu sebelum dapat menumpaskan Pearly-Thinaah.

Bukan itu sahaja, pertarungan sengit yang berkesudahan dengan skor 21-17, 17-21 dan 21-19 turut memakan masa lebih satu jam permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan kekalahan keempat berturut-turut dialami oleh Pearly-Thinaah bertemu Qing Chen-Yi Fan di pentas antarabangsa sejak tahun 2022.

Dua hari lalu, Pearly-Thinaah turut mengharungi hampir satu jam permainan ketika berhadapan wakil Jepun, Rui Hirokami dan Yuna Kato dengan pungutan mata 21-17, 15-21 dan 21-15 sebelum mengesahkan tempat ke Pusinga 16.

Untuk makluman, ini merupakan kejohanan antarabangsa pertama yang disertai beregu negara selepas Pearly mengalami kecederaan yang memaksa mereka menarik diri di Pusingan 32 Terbuka Singapura sekitar awal Jun lalu. 

Sementara itu, Qing Cheng-Yi Fan yang melakar kemaraan ke suku akhir akan bertemu pasangan Jepun yang menghuni ranking ke-18 dunia, Rin Iwanaga dan Kie Naknishi untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen