Putera Nadher Amarhan Ikut Jejak Safee Beraksi Di Indonesia
July 21, 2023 โ€ข Hafizuddin Omar

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Sweden, Junior Eldstal atau turut dikenali sebagai Putera Nadher Amarhan menjadi pemain skuad kebangsaan kedua selepas Safee Sali beraksi dalam kancah bola sepak Indonesia.

Perkembangan itu hadir setelah Dewa United FC yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia mengucapkan selamat datang kepada Junior menerusi satu video berdurasi 56 saat yang dimuat naik di akaun Instagram dan Twitter rasminya sekitar tengah malam tadi.

Presiden Dewa United FC, Ardian Satya Negara berkata Junior dibawa masuk kerana barisan kejurulatihannya ingin menambah pemain di posisi pertahanan tengah.

Tambahan pula, Junior yang memiliki kelebihan fizikal daripada aspek ketinggian iaitu 1.91 meter (m) dilihatย  sebagai pilihan yang ideal untuk membarisi barisan pertahanan mereka.

Difahamkan, Junior juga menjadi pemain terakhir yang mengisi slot pemain asing (import) bagi mengharungi saingan musim 2023-24.

Sebelum ini, Junior yang berusia 31 tahun kembali semula ke kancah bola sepak Thailand dengan menyertai PT Prachuap sekitar Januari lalu. Sepanjang hampir setengah tahun bersama PT Prachuap, Junior sempat tampil sebanyak empat kali dimana tiga daripadanya merupakan saingan liga manakala satu lagi adalah saingan piala liga.

Untuk pengetahuan semua, Safee menjadi pemain pertama skuad kebangsaan yang beraksi di dalam kancah bola sepak negara jiran tetangga itu apabila menyertai Pelita Jaya FC pada tahun 2011.

Penyertaan Safee bersama kelab tersebut dalam kancah Liga Super Indonesia (ISL) bertahan sekitar dua musim sebelum pulang ke Malaysia untuk menyertai Johor Darul Taโ€™zim (JDT).

Featured Image: Dewa United FC

Komen