Piala Liga: Sepakan Percuma Messi Minit 90+4 Bantu Inter Miami Raih Kemenangan
July 22, 2023 Hafizuddin Omar

Sepakan percuma dari luar kotak oleh pemenang Ballon d’Or sebanyak tujuh kali, Lionel Messi memastikan kelab yang baru disertainya iaitu Inter Miami mencatatkan kemenangan ke atas Cruz Azul dari Mexico dalam saingan Piala Liga.

Jaringan cantik hasil daripada sepakan kaki kirinya yang hadir pada minit ke-90+4 menuju tepat ke bahagian bucu kiri gawang tidak mampu ditepis Andre Gudino sekaligus menjadikan keputusan perlawanan dimenangi oleh Inter Miami 2-1 ke atas Cruz Azul.

Sebelum itu, Messi masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-54 menggantikan Benjamin Cresmachi sekaligus menandakan sebagai debutnya bersama kelab milik bekas bintang bola sepak, David Beckham.

Turut serta masuk sebagai pemain gantian pada ketika itu adalah bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Sergio Busquets – turut meraih debut bersama Inter Miami – yang menggantikan David Ruiz.

Terdahulu, Inter Miami dan Cruz Azul terikat 1-1 sejak minit ke-65 apabila pemain tengah skuad La Maquina, Uriel Antuna menjaringkan gol penyamaan. Manakala jaringan pembukaan pula hadir menerusi penyerang The Herons, Robert Taylor pada minit ke-44.

Dengan kemenangan ini, Inter Miami turut meraih tiga mata yang pertama sekaligus mengungguli carta Kumpulan J.

Perlawanan seterusnya, Inter Miami akan berhadapan dengan kelab Amerika Syarikat yang turut berada dalam Kumpulan J, Atlanta United pada Rabu dengan sepak mula jam 7.30 pagi waktu Malaysia.

Sebagai tambahan, kelab yang menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga dua teratas setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Untuk makluman, tiga pasukan terbaik di kejohanan Piala Liga yang melibatkan kelab bola sepak Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico ini akan mendapat slot ke saingan Liga Juara-Juara CONCACAF 2024.

Featured Image: Inter Miami CF

Komen