UBB Amanah Lanjut Penajaan Terhadap KL City
July 22, 2023 Hafizuddin Omar

Menjelang perlawanan akhir Piala FA 2023, kelab bola sepak berpangkalan di ibu negara, Kuala Lumpur City FC (KL City) menerima suntikan kewangan dan motivasi tambahan apabila UBB Amanah Berhad tampil melanjutkan penajaan.

Pemeteraian kerjasama penajaan antara KL City dan syarikat amanah yang ditubuhkan pada tahun 1988 itu diadakan dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ianya dimeterai oleh Stanley Bernard selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City dan Aida Othman merangkap CEO UBB Amanah Berhad sambil disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad dan pemilik kelab, Azri Azerai.

Hasil kerjasama ini, logo UBB Amanah Berhad kembali menghiasi ruangan hadapan jersi home dan away KL City kendalian Bojan Hodak.

Bagaimanapun, tiada sebarang jumlah penajaan didedahkan kepada umum oleh pihak UBB Amanah Berhad.

Akan tetapi, Aida yang memaklumkan dirinya merupakan penyokong skuad The City Boys sejak kecil turut berharap kerjasama ini dapat menyumbang kepada pembangunan bola sepak di Kuala Lumpur. 

Selain logo UBB Amanah Berhad, bahagian hadapan jersi KL City turut dihiasi iklan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen