Seluruh negeri Johor dapat bercuti pada Ahad (23 Julai) selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menjuarai saingan Piala FA 2023.
Perkembangan ini hadir selepas kerajaan negeri Johor pimpinan Menteri Besar, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi memutuskan untuk mengisytiharkan hari tersebut sebagai Hari Cuti Peristiwa.
“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 23 Julai 2023, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat Negeri Johor sempena kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2023.” umum beliau menerusi pelbagai platform media sosialnya miliknya.
TAHNIAH JDT!
Syukur Alhamdulillah di atas kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana berjaya merangkul Piala FA 2023 menentang Kuala Lumpur City FC dengan jaringan gol 2 – 0, serta mempertahankan kejuaraan tahun lalu dengan penuh gaya.
1/6 pic.twitter.com/Hng0JfFyT0
— Onn Hafiz Ghazi (@onnhafiz) July 22, 2023
Skuad berjulukan Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari berhasil muncul juara setelah memenangi perlawanan akhir menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0 hasil jaringan Hong Wan dan Leandro Velazquez pada minit ke-66 dan ke-74 masing-masing.
Untuk makluman semua, ini merupakan kejuaraan Piala FA yang ketiga diraih JDT sejak mendapat sentuhan pimpinan DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) selepas merangkulnya pada tahun 2016 dan 2022 yang lalu.
Sebagai rekod, ketika JDT muncul juara Piala FA pada tahun lalu, Onn Hafiz turut mengumumkan cuti buat seluruh negeri Johor pada 11 September bagi meraikan kejayaan tersebut.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers