Terbuka Jepun: Beregu No.23 Dunia Hampir Singkir Pearly-Thinaah
July 25, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan hampir-hampir sahaja ditunjukkan jalan keluar seawal Pusingan 32 ketika turun menentang pasangan yang menghuni ranking ke-23 dunia, Liu Sheng Shu dan Tan Ning di Terbuka Jepun 2023, hari ini. 

Pada awalnya, Pearly-Thinaah yang berada di ranking kesebelas dunia memulakan pertarungan itu dengan baik apabila mencatatkan kemenangan pada set pertama dengan skor 21-11.

Bagaimanapun, Liu-Tan dari China berhasil bangkit untuk memenangi perlawanan pada set kedua dengan skor 21-9 sekaligus mengheret Pearly-Thinaah ke set penentuan. 

Ketika beraksi di set ketiga merangkap set penentuan, ada satu ketikanya, Pearly-Thinaah telah ketinggalan 9-15. Namun begitu, Pearly-Thinaah yang menampilkan semangat juang yang tinggi membolehkan mereka mengejar sehingga berjaya menamatkan set tersebut dengan skor 21-19.

Ianya sekaligus menoktahkan pertarungan menentang Liu-Tan setelah 59 minit di atas gelanggang dengan pungutan mata 21-11, 9-21 dan 21-19 dan membawa Pearly-Thinaah ke peringkat Pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 ini. 

Untuk makluman, ini merupakan kali kedua berturut-turut Pearly-Thinaah melakar kemenangan ke atas Liu-Tan di pentas antarabangsa selepas menundukkan mereka dalam pertemuan julung kalinya di Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 menerusi skor 21-17, 12-21 dan 21-19 dalam tempoh masa satu jam dan 16 minit permainan.

Sementara itu, Pearly-Thinaah yang mara ke Pusingan 16 akan menantikan cabaran samada daripada beregu No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan atau beregu Kanada yang berada di ranking ke-30, Catherine Choi dan Josephine Wu.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen