Nenad Bacina Kemudi KL City, Bojan Hodak Sertai Persib Bandung
July 26, 2023 Hafizuddin Omar

Bekas penolong jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Nenad Bacina kini kembali ke pangkuan skuad berpangkalan di ibu kota tanah air sebagai ketua jurulatih mereka.

Kehadiran semula jurulatih dari Croatia yang berusia 51 tahun ini adalah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Bojan Hodak secara mengejut pada hari ini.

Perkembangan tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC dalam satu sidang media pada pagi ini.

“Sidang media pada pagi ini adalah untuk mengumumkan bahawa kita punya head coach (ketua jurulatih), saudara Bojan Hodak akan berpindah ke kelab yang lain dan negara yang lain.

“Ini merupakan satu perpisahan yang amat menyedihkan tetapi pada masa yang sama kita sangat berterima kasih kerana pada asalnya dia hanya menandatangani kontrak untuk bersama kita selama hanya setahun,

“Tetapi setelah kita dapati bahawa kita ada sinerginya, dapat bekerjasama dengan baik maka dia telah bersama dengan kita selama (hampir) tiga tahun,” umumnya Khalid dalam sidang media di Kompleks Sukan PKNS.  

View this post on Instagram

A post shared by PERSIB (@persib)

Susulan daripada pengumuman ini, destinasi Bojan diketahui apabila kelab yang berpangkalan di negara jiran tetangga iaitu Persib Bandung mengumumkan secara rasmi mendapatkan khidmat jurulatih yang juga kelahiran Croatia ini.

Skuad berjulukan Maung Bandung ini mengikat khidmat Bojan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh ketua jurulatih sebelum ini, Luis Mila.

Sebagai rekod, selama bersama KL City, Bojan telah membimbing skuad berjulukan The City Boys ini muncul juara Piala Malaysia 2021 serta mara ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 dan Piala FA 2023.

Sementara itu, Nenad pula akan bergelar ketua jurulatih buat kali ketiga dalam kancah bola sepak Malaysia selepas mengemudi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Pulau Pinang pada tahun 2015 dan 2016 masing-masing.

Selebihnya, peranan Nenad banyak berkisar sebagai penolong jurulatih kepada Bojan di beberapa buah pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), skuad kebangsaan bawah 19 tahun (Malaysia B-19) dan terakhir KL City.

Untuk pengetahuan semua, Nenad meninggalkan KL City pada penghujung 2022 untuk menyertai kelab berpangkalan di Arab Saudi, Al Faiha sebagai Pengarah Akademi.

Featured Image: KL City FC

Komen