Terbuka Jepun: Tze Yong Balas Dendam Terhadap Naib Juara Korea
July 26, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.2 tanah air, Ng Tze Yong terpaksa akur tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Korea setelah tumpas kepada pemain Singapura merangkap naib juara kejohanan tersebut, Loh Kean Yew pada minggu lalu.

Bagaimanapun, Tze Yong berjaya memastikan perkara tersebut tidak berulang apabila bertemu lawan yang sama di pusingan 32 kejohanan Terbuka Jepun pada minggu ini.

Dalam pertarungan tersebut, Tze Yong berhasil meraih kemenangan ke atas penghuni ranking ketujuh dunia itu secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-17 dalam tempoh 41 minit permainan sekaligus membalas dendam terhadap kekalahannya pada Jumaat lalu.

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Tze Yong melakar kemenangan daripada tiga pertemuan menentang Kean Yew di pentas antarabangsa.

Kemenangan pertama dilakar Tze Yong adalah ketika bertembung dalam acara individu pada peringkat suku akhir di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Sementara itu, kemenangan pada hari ini membawa Tze Yong yang berada di ranking ke-21 dunia ke peringkat Pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 750 ini. 

Bagaimanapun, lawannya akan diketahui selepas selesai pertarungan melibatkan dua pemain tuan rumah, Kento Momota dan Koki Watanabe pada petang nanti.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen