Pihak Sekolah Boleh Sambut Hari Sukan Di SNBJ Secara Percuma Selama 2 Tahun
July 26, 2023 Hafizuddin Omar

Sekolah-sekolah boleh membuat tempahan dan menggunakan fasiliti-fasiliti di bawah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) seperti Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) secara percuma bagi mengadakan sambutan hari sukan masing-masing selama dua tahun.

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh tampil mengumumkan tawaran istimewa ini bersempena dengan Ulang Tahun Ke-25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC) atau sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Sukan Negara.

Hannah menjelaskan tawaran ini dibuat bagi melaksanakan konsep merakyatkan sukan dan ianya telah dipersetujui oleh Mesyuarat Anggota Perbadanan pada 17 Julai lalu.

“Ini selaras dengan pengumuman bahawa kita nak fokus (kepada) sukan olahraga sebagai satu sukan untuk pembangunan akar umbi di peringkat sekolah,”

“Saya percaya dengan kita memberikan pengalaman untuk kanak-kanak sekolah berlari atas trek Stadium Nasional Bukit Jalil, dia akan bagi mereka inspirasi untuk menjadi atlet,”

“Mereka (akan) tahu, oh, ini adalah pengalaman yang anda boleh rasai jika anda lari di atas trek stadium,” kata Hannah menerusi klip video sidang media yang dikongsikan di platform media sosialnya. 

Namun begitu, penggunaan oleh sekolah-sekolah untuk mengadakan sambutan hari sukan masing-masing tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan fasiliti. 

Selain SNBJ, antara fasiliti lain yang terlibat dengan tawaran ini ialah Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara.

https://twitter.com/KBSMalaysia/status/1684034427792560128?s=20

“Sepanjang tahun, kalau kita lihat, Isnin hingga Jumaat (tiada tempahan), selalunya tempahan korporat hari Sabtu dan Ahad, jadi Isnin hingga Jumaat rugi kalau kita tak buka kepada kanak-kanak sekolah gunakan,”

“Kalau kita buat sesi tempahan itu (sebanyak) dua sesi (sehari), pagi dan petang, bermaksud dua sekolah boleh share (kongsi) dalam satu hari. kita akan bagi lebih lagi peluang kanak-kanak sekolah menggunakannya,”

“Selalunya, perbincangan adalah bahawa stadium adalah rumah kepada Harimau Malaya dan konsert, tetapi kali ini kita nak tambah naratif ini adalah rumah untuk kanak-kanak sekolah juga, kita betul-betul nak merakyatkan stadium,” katanya lagi.

Namun begitu, Hannah memberikan makluman tambahan bahawa penggunaan trek dan fasiliti di Stadium Nasional akan dibuka selepas selesai projek penukaran rumput pada Oktober kelak.

Untuk pengetahuan semua, sebelum ini, penggunaan fasiliti-fasiliti ini sudah dibuka untuk pihak sekolah membuat tempahan namun begitu ianya perlu dibayar berserta diskaun dan tidak ditawarkan secara percuma.

Pihak sekolah yang berminat untuk membuat sambutan hari sekolah di fasiliti-fasiliti terbabit boleh membuat tempahan dengan menghubungi pihak PSM.

Featured Image: AFC

Komen