Terbuka Jepun: Zii Jia Kandas Awal 2 Kejohanan Berturut-Turut
July 26, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kini mengalami kekalahan kali kedua kedua berturut-turut di peringkat Pusingan 32 selepas kembali semula dalam kejohanan antarabangsa.

Pemain berusia 25 tahun ini mengalami kekalahan terbarunya di peringkat tersebut selepas tumpas kepada Kenta Nishimoto di kejohanan Terbuka Jepun, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor 22-20. 

Namun begitu, pemain dari Jepun itu berhasil bangkit pada set kedua dengan skor 21-17 sekaligus mengheret Zii Jia ke set penentuan.

Ketika di set ketiga, Kenta yang berusia 28 tahun berhasil mendahului dengan skor 11-4 namun berjaya disamakan semula kedudukan oleh Zii Jia menjadi 15-15.

Bagaimanapun, set ketiga ini tetap menjadi milik Kenta apabila pemain tuan rumah ini dapat mengakhirinya dengan skor 21-19.

Untuk pengetahuan semua, tiga set pertarungan antara Zii Jia dan Kentan ini berlangsung selama 89 minit permainan. 

Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Kenta mencatatkan kemenangan ke atas Zii Jia daripada tujuh pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Menariknya, kemenangan Kenta ini hadir buat julung kalinya selepas tumpas sebanyak lima kali berturut-turut di tangan Zii Jia.

Untuk makluman semua, Zii Jia turut sama terkandas pada Pusingan 32 di Terbuka Korea minggu lalu setelah tumpas kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus.

Sebagai tambahan, Zii Jia yang kini berada di bawah bimbingan Wong Tat Meng akan menyertai Terbuka Australia – Jelajah Dunia BWF Super 500 – pada minggu hadapan.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen