Dua skrip yang berbeza menimpa dua beregu lelaki negara yang beraksi pada peringkat pusingan 32 di Terbuka Jepun – Jelajah Dunia BWF Super 750, pada hari ini.
Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang baru sahaja mencatatkan peningkatan sebanyak lapan anak tangga dalam Ranking Dunia bermula langkah kanan dalam kejohanan tersebut.
Ianya selepas meraih kemenangan ke atas beregu tuan rumah yang berada di ranking ke-34 dunia, Ayato Endo dan Yuta Takei secara “straight set” dengan skor 21-18 dan 21-15 dalam tempoh 37 minit permainan.
Kemenangan itu sekaligus membawa mereka ke peringkat Pusingan 16 bertemu beregu China yang menghuni tangga ketujuh dunia, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi pada hari esok.
Sementara itu, lain pula skripnya melibatkan beregu No.3 tanah air, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang terpaksa pulang awal.
Ini susulan Wei Chong-Kai Wun tumpas di tangan beregu No.4 Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana selepas mengharungi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-21, 21-15 dan 20-22 dalam tempoh masa 52 minit.
Kekalahan ini bukan sahaja mengekang Wei Chong-Kai Wun ke peringkat seterusnya bahkan turut menjadikan mereka tumpas tiga perlawanan berturut-turut daripada tiga pertemuan menentang Shohibul-Bagas di pentas antarabangsa.
Featured Image: Badminton Asia
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!